icon-search
icon-search

5 TIPS PERSEDIAAN MENJADI IBU AYAH PEMBINA GENERASI ISLAM

5 TIPS PERSEDIAAN MENJADI IBU AYAH PEMBINA GENERASI ISLAM

Sebelum peperiksaan zaman sekolah dulu, kita pulun belajar sungguh-sungguh dan buat persedian serapi-rapinya. Buat kumpulan belajar, buat nota, latih tubi hampir setiap hari, lebih-lebih lagi kalau peperiksaan penting macam SPM, PMR hatta UPSR. 

Kita cuba untuk fahamkan apa yang kita belajar untuk kita luahkan pada kertas jawapan. Kenapa kita periksa? Antara sebab utamanya ialah kita nak uji kelayakan dan kefahaman kita tentang ilmu yang dah kita belajar dan untuk masa depan yang lebih cerah.

Jika kita analogikan peperiksaan ini dengan situasi menjadi ibu ayah, ada persamaan tak?

Ya, malah lebih besar lagi persediaan yang perlu kita siapkan! Kenapa?

Ibu ayahlah yang membentuk generasi! Di tangan ibu ayah, hasil didikan ibu ayahlah yang mencorakkan masa depan negara. Peperiksaan memberi kesan kepada individu, menjadi ibu ayah memberi kesan kepada generasi.

Begitu pentingnya peranan ibu ayah sebagaimana hadis Rasulullah SAW;

"Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi." 

5 Perkara Wajib Persediaan Menjadi Ibu Ayah Pembina Generasi Islam

  1. Perbaiki diri menjadi hamba Allah yang lebih baik.

    Setiap manusia perlu sedar bahawa setiap apa yang berlaku di atas muka bumi ini sebenarnya mengikut aturan Allah SWT. Segala kebergantungan kita perlulah disandarkan pada Allah semata-mata termasuklah dalam membina sebuah keluarga. Pertingkatkan amal ibadah kita, doa kepada Allah agar dikurniakan keturunan yang baik dan yakin dengan ketentuan Allah.
     
     
  2. Sediakan misi & visi yang jelas.

    Ibu ayah perlu rancang hala tuju anak-anak. Bukan menidakkan hak anak-anak untuk menentukan masa depan mereka, tetapi ibu ayah perlu menyediakan garis panduan dalam perjalanan anak-anak mencapai cita-cita mereka. Sepertimana ayah Sultan Muhammad Al Fateh yang mempunyai azam untuk lahirkan seorang pemimpin yang bakal membuka Konstantinopel, begitulah juga misi & visi ibu ayah yang boleh diterapkan dalam diri anak-anak.
     
     
  3. Tambahkan ilmu keibubapaan.

    Ilmu Allah itu cukup luas. Sedangkan kita nak menjawab soalan peperiksaan pun kita belajar, apatah lagi dalam membina generasi. Sentiasa rendahkan jiwa untuk belajar ilmu keibubapaan, perbaiki segala kesilapan yang dibuat dan contohi teladan Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak. Ilmu itu tidak pernah cukup bagi ibu ayah yang mempunyai visi besar.
     
     
  4. Wujudkan suasana rumahku syurgaku.

    Ibu ayah merupakan teladan pertama bagi anak-anak. Apa yang ibu ayah lakukan akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak. Ibu ayah yang menekankan aspek kerohanian dalam keluarga dan mewujudkan suasana rumahku syurgaku akan membantu perkembangan rohani & emosi anak-anak. Antara amalan yang boleh merangsang suasana bahagia di rumah ialah solat berjemaah, makan berjemaah, tadabbur Quran dan bermain-main bersama keluarga.
     
     
  5. Tingkatkan komunikasi keluarga.

    Komunikasi adalah elemen penting dalam mana-mana perhubungan. Amalkan komunikasi yang berkesan antara ahli keluarga; suami-isteri, ibu-anak, ayah-anak dan adik-beradik. Kurangkan penggunaan gajet di rumah dan cuba untuk bercerita dan mendengar celoteh anak-anak. Bincangkan halatuju anak-anak, cara yang sesuai, jadual perkembangan anak-anak bersama pasangan. Menjadi ibu ayah bukanlah tugas salah seorang sahaja, tetapi kaedah keibubapaan yang berkesan melibatkan kedua-dua ibu dan ayah.


 Antara doa yang boleh diamalkan oleh setiap yang bergelar ibu ayah:


 رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ
 
 
Maksudnya : “Ya Tuhanku, berilah aku keturunan yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.”
                                                                                                                          (Surah Ali-Imran 3 : 38)
 
 



Older post Newer post

Your Cart
Your cart is currently empty.
Continue browsing here.