icon-search
icon-search

Jadilah Seperti Lebah

Jadilah Seperti Lebah

JADILAH SEPERTI LEBAH

Lebah adalah makhluk Allah SWT yang kecil saiznya namun memberi banyak manfaat kepada manusia dan juga alam ini.  Kisah lebah telah tertulis di dalam al-Quran dalam surah An-Nahl, iaitu surah yang ke-16.  Surah ini terdiri daripada 128 ayat yang termasuk golongan surah Makkiyyah.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

 “Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah:  “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.” (Surah an-Nahl, ayat 68)  

“Dari perut lebah itu keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat, yang menyembuhkan bagi manusia.  Sesungguhnya pada  yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”  (Surah an-Nahl, ayat 69)

Walaupun lebah merupakan makhluk yang kecil, namun semangat bekerjanya cukup hebat.  Bayangkan lebah daripada sarang yang sama akan melawat lebih kurang 22,500 kuntum bunga setiap hari dan sekiranya dipecahkan mengikut kadar seekor lebah, lebih kurang 50,100 kuntum bunga sehari bagi seekor lebah. Sebanyak lebih kurang dua juta kuntum bunga perlu dicari oleh lebah bagi menghasilkan satu paun madu.  Kita tidak dapat membayangkan bagaimana kesungguhan lebah yang boleh melakukan tugas ini.

Allah yang ajar lebah bagaimana nak bergerak. Lebah-lebah itu menempuh jalan udara yang luas tetapi tetap dapat kembali ke sarangnya tanpa menyimpang ke arah kanan atau ke arah kiri ataupun dengan erti kata lain sesat. Kalimah ذُلُلًا dari katadasar ذ ل ل yang antara lain, bermaksud taat dan ikut sahaja. Maka lebah diperintahkan untuk ikut sahaja ilham yang Allah telah beerikan kepada mereka. Dan memang lebah ikut sahaja arahan dan ilham dari Allah itu. Maka setiap kali kita lihat lebah bergerak ke sana sini, kita tahu yang mereka taat dan ikut apa yang Allah suruh.

Maka ini mengajar kita juga haruslah taat kepada Allah seperti mana lebah itu. Serangga yang tidak sehebat manusia pun taat kepada Allah, apatah lagi kita yang dapat lebih banyak nikmat dari mereka. Manusia yang merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang paling sempurna dan berakal seharusnya boleh melakukan setiap pekerjaan dengan lebih baik  jika mengambil iktibar daripada kisah lebah yang berdisiplin, setia dan rela berkorban.  Sepertimana madu yang dihasilkan oleh lebah yang sangat bermanfaat kepada manusia.  Begitulah hendaknya diri kita supaya sentiasa  memberi manfaat kepada orang lain.

Lebah tidak pernah merosakkan apa-apa pun walaupun sekadar ranting pohon.  Serangga yang sopan dan penuh kesantunan dalam melayani apa sahaja yang ada di sekelilingnya.  Justeru jadilah insan yang baik dan tidak pernah menyakiti orang lain. Setiap sesuatu yang difirmankan Allah SWT dalam al-Quran adalah petunjuk kepada manusia untuk menjadikannya sebagai panduan. Oleh kerana itu, kita digalakkan sentiasa membaca dan mentadabur isi kandungan al-Quran kerana di dalamnya terdapat seribu satu panduan untuk kita belajar melayari kehidupan di dunia ini.

Seperti kata pepatah, ‘Pandanglah dengan pandangan mata lebah yang hanya melihat kebaikan di matanya bukan seperti mata lalat yang hanya mencari kekotoran sahaja’. Ungkapan yang tepat kerana lebah hanya mencari bunga yang indah sahaja untuk menghasilkan madu.

Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia.  Justeru, marilah kita jadikan sifat baik yang ada pada lebah sebagai inspirasi untuk menjadi manusia yang lebih baik hari ini berbanding semalam.

Sumber: Celik Tafsir, Salam Web, Otaimadu.blogspot



Older post Newer post

Your Cart
Your cart is currently empty.
Continue browsing here.